TENOM: Sabah Electricity (SESB) mengesahkan berlaku beberapa kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan masuk ke stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi.
Insiden ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam membawa limpahan air dan bongkahan batu besar yang menimbusi jalan masuk dan ‘gate intake’ .
Justeru, atas faktor keselamatan, SESB terpaksa menutup operasi stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Hj Jaafar, pihaknya masih memeriksa keadaan dan menilai kerosakan.
Pelan tindak kecemasan telah diaktifkan dan semua anggota kerja telah selamat dipindahkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian itu ujarnya tidak menjejaskan bekalan elektrik kepada Sistem Grid Sabah.