Oleh Zahir Senapiah
KULAI: Meskipun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) ia tidak menghalang hasrat seorang atlet Paralimpik Sukan Malaysia Johor (SUKMA) untuk membuka perniagaan sendiri.
Malah kesungguhan beliau menjadi sumber inspirasi kepada golongan berkenaan untuk berdikari, sekaligus tidak bergantung harap kepada sumbangan orang ramai.
Mohamad Arif Ahmad, dilahirkan normal 23 tahun lalu di Kulai, Johor.
Bagaimanapun nasibnya berubah selepas terbabit dalam kemalangan kereta ketika bekerja sebagai penghantar makanan di Saleeng, Senai pada Disember 2017.
Akibat kemalangan itu, anak bongsu dari enam beradik ini mengalami kecatatan kekal selepas tulang belakangnya patah dan memberi kesan kepada tulang sum-sum sekaligus menyebabkan beliau tidak mampu berjalan seperti biasa.
Pemegang dua pingat gangsa acara ping pong bagi ketegori individu dan beregu SUKMA Para Johor 2022 mengakui mulanya berputus asa dengan nasib dirinya.
Namun beliau bangkit demi masa depannya sendiri dengan mengusahakan perniagaan gunting rambut bersama dua rakannya di Taman Gembira, Bukit Batu di Kulai, Johor sejak setahun lalu.
Kecacatan kekal yang dialami memaksa beliau bergantung kepada kerusi khas yang dibeli secara atas talian dari negara China.
Kerusi khas yang berharga RM20,000 dari negara China membantu memudahkan pergerakannya dalam urusan menggunting rambut pelanggan dan urusan hariannya.
Berkat sokongan ahli keluarga dan sahabat handai, beliau akhirnya mampu bergelar usahawan muda.
“Sebelum saya terbabit kemalangan, saya dah belajar gunting rambut, lepas accident saya lost kejap, gunting rambut dua tahun juga lah lepas jumpa kawan saya balik, saya cakap nak buat gunting balik lah untuk buka kedai” katanya.
Meskipun dibantu kerusi khas, beliau tidak mampu berdiri lebih tiga jam.
Kegigihan Mohamad Arif yang tidak mengenal erti putus asa turut menjadi inspirasi buat rakannya serta pelanggan.
Mereka menganggap ksungguhan Mohamad Arif bangkit untuk membina masa depan sendiri sesuatu yang luar biasa.
“Semangat tinggi untuk berdikari amat mengkagumkan kerana sebahagian besar mereka yang terbabit dalam kemalangan akan mengambil masa yang panjang untuk menghilang trauma sebelum sangkit semula”, kata seorang Muhamad Haikal Amran yang juga pelanggan tetapnya.
Justeru ramai yang membantu Mohamad Arif dengan menjadi pelanggan tetapnya.
Lebih membanggakan, Moahamd Arif turut menawarkan khidmat gunting rambut yang dibuka setiap hari secara percuma kecuali Isnin kepada semua rakan senasib dengannya.