KUALA LUMPUR: Rizab Melayu yang menjadi status Kampung Baru akan dipertahankan selagi ada bintang dan bulan, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Komoditi berkata, tempoh itu cukup bersejarah yang menyaksikan arus pembangunan berlaku yang signifikan terhadap Kuala Lumpur sebagai ibu negara.
“Sebagai Ahli Parlimen, ada tiga perkara yang saya sentiasa tekankan kepada semua penduduk Kampung Baru iaitu mesti memastikan tanah ini kekal milik tangan orang Melayu.
“Selain itu, mana-mana pembangunan di sini kita galakkan dan tiada tentangan, tetapi dengan syarat pemaju kawasan kena mengambil kira sejarah tempat ini supaya yang berlaku ke atas Sungai Baru tidak berlaku di sini.
“Ia terjadi kerana ramai pemaju datang ke kawasan ini tidak faham, kerana dia tidak faham sejarah kerana dia menganggap memajukan kawasan setinggan.
“Disebabkan saya menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU13), dulu kita sudah menunjukkan bagaimana membangunkan Kampung Baru ini di tanah pasar minggu yang hari ini membangun sebagai projek gergasi dan berjalan dengan begitu sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin sempena sambutan 125 tahun Kampung Baru di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Johari berkata, kelancaran pembangunan itu kerana pihaknya mengambil kira pandangan penduduk setempat sebelum memulakan pembangunan.
“Tetapi di Sungai Baru malangnya apabila hendak dibangunkan, ia tidak mengambil pandangan semua yang akhirnya berlaku membuatkan wujud dua kumpulan, satu mahu pindah dan sudah berpindah yang masuk tujuh tahun, kemudian satu lagi tidak bersetuju.
“Seterusnya soal kebersihan iaitu seperti mana kita menumpukan kebersihan longkang yang diselenggara dengan baik, di samping peniaga turut memainkan peranan iaitu tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.
“Maka tiada isu saliran tersumbat, kerana kalau tidak menjaga kebersihan agak sukar untuk membangun dengan terancang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.