GEORGE TOWN: Semua pihak diminta menghormati keputusan dibuat Mahkamah Rayuan hari ini berhubung status quo agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong.
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama tiga anak wanita terbabit yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, sudah termaktub menurut hukum Islam, bahawa sesiapapun tidak dibenarkan memaksa seseorang bagi menganut agama Islam.
Katanya, masyarakat juga perlu tahu bahawa ia adalah isu keyakinan berdasarkan kebebasan memilih mana-mana agama yang ingin dianuti.
“Anak Siew Hong kini sudah sampai ke tahap usia matang, membolehkan mereka membuat pilihan agama yang mereka ingin anuti, cuma mereka hendaklah diberi kebebasan sepenuhnya bagi membuat pilihan itu.
“Tawaran pihak Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) bagi memberi bantuan kewangan dan menyediakan pendidikan Islam adalah hasrat yang mulia, namun ia juga terserah kepada Siew Hong dan anaknya sama ada mahu menerima tawaran itu atau menolak,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Wan Salim berkata, sebagai pihak berkuasa agama Islam, tentunya MAIPs ingin melaksanakan tanggungjawabnya bagi memelihara akidah dan kebajikan kanak-kanak berkenaan, sekiranya mereka masih mahu menjadi orang Islam.
“Tetapi jika mereka sendiri memilih agama lain maka tidak boleh dipaksa bagi menerima tawaran itu.
“Jika pihak MAIPs tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini, mereka masih berpeluang bagi merayu supaya kes dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan.
“Semoga semua pihak dapat menghayati semangat toleransi beragama yang selama ini menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia serta amat membantu ke arah mengekalkan kestabilan hidup pelbagai kaum,” katanya lagi.