comscore
Tumpuan :
Nasional

SSPA: Penjawat awam gagal pamer prestasi baik tidak diberi ganjaran – Anwar

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember ini bukan semata-mata pembaharuan dan peningkatan pendapatan penjawat awam, sebaliknya ia berteraskan prestasi serta tatakelakuan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, individu yang cemerlang akan dapat ganjaran manakala penjawat awam yang gagal mempamer prestasi yang baik akan dikenakan tindakan.

“Sebagaimana yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan layanan yang sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.

“Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menurut Anwar, secara prinsip, kerajaan mahu hanya yang benar-benar layak sahaja diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan.

“Selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju Skim Saraan Malaysia (SSM) digantikan dengan SSPA sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

Selain itu, pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 hingga 42 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.

Pelarasan berkenaan akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini dan fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini