Jiwanya yang besar dan semangat kental dalam menceburi bidang berbahaya didominasi kaum Adam, wajar dijadikan inspirasi buat golongan wanita.
Pun begitu, Kapten Samsidar Bahar tidak menjadikan perkara tersebut sebagai penghalang untuk beliau berkhidmat dalam bidang ketenteraan sejak tujuh tahun lalu.
Lebih membanggakan, Kapten Samsidar turut menjadi antara peneraju kumpulan pegawai wanita pertama dalam bidang kejuruteraan peluru, bersama empat rakannya yang lain.
“Saya keluar dari zon selesa saya untuk saya mencuba sesuatu yang mencabar bersama dengan sahabat-sahabat saya yang lain,” katanya.
Sebagai pegawai teknik peluru, anak kelahiran Lahad Datu, Sabah ini bertanggungjawab untuk menguji dan memastikan setiap bahan letupan boleh digunakan pada masa yang ditentukan.
Malah, beliau juga bertugas mengesan bahan letupan menggunakan alat pengesan logam dan perlu mengenal pasti model serta kondisi setiap peluru atau bom jika ia berbahaya atau sebaliknya.
“Saya yang memilih untuk terlibat dalam dunia peluru ni, saya perlu buang rasa takut tu walaupun untuk memegang suatu live ammo agak menggigil tapi ini adalah tugas, tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan dan saya yang memilih jalan ini.”
Sementara itu, bagi Inspektor Siti Nabilah Abdullah, kerjaya di awan biru sebagai juruterbang Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) menuntutnya bekerja lebih keras untuk menempuh setiap cabaran yang dilaluinya.
Selaku kumpulan pertama juruterbang wanita, saingan mereka bukan hanya pada perbezaan jantina, malah keupayaan diri sendiri.
Beliau merupakan antara empat juruterbang wanita di bawah Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang bermula pada tahun 2021.
“Fasa di ground school mengikut requirement Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) kami perlu lulus 10 subjek. Selain itu saya perlu extra work hard compare dengan yang lain sebab saya perlu lulus exam, saya perlu submit saya punya thesis.
“Excited! Sebab kita cuba benda baru, macam dapat kereta baharu, macam tu juga semua kami rasa. Gembira pasti, tapi pada masa sama kena sentiasa berfikir agar berhati-hati, berwaspada,” katanya lagi.
Untuk mengetahui lebih lanjut episod ‘Srikandi Pertiwi’, saksikan Majalah 3 pada jam 9 malam ini di TV3.
Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.