Tumpuan :
Nasional

SPRM tak pilih bulu siasat kes rasuah – Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah memilih bulu dan tiada pengecualian kepada sesiapa membabitkan isu rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sesiapa sahaja sama ada wartawan atau ahli politik, jika dia melakukan kesalahan (rasuah), tiada pengecualian dilakukan.

“Kami mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa dia (wartawan) terbabit dalam rasuah selepas wang tunai sebanyak RM20,000 ditemui bersamanya.

“Ini bukan sekadar salah laku. Di bawah undang-undang rasuah, ia sangat jelas, sesiapa yang menerima suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan, itu adalah kes rasuah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam baki berkata demikian mengulas gesaan PAS supaya SPRM memberi keutamaan kepada siasatan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan ejen pekerja asing dan pegawai imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan isu itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, tindakan SPRM menahan wartawan portal yang membongkar isu penyeludupan pekerja asing itu janggal dan menimbulkan persoalan.

“PAS percaya adalah lebih tepat dan sesuai sekiranya SPRM mendahulukan siasatan ke atas laporan media mengenai kegiatan meragukan ini, berbanding mengambil tindakan terhadap wartawan yang hanya melaporkan dakwaan rasuah tersebut,” katanya.

Media semalam melaporkan wartawan sebuah portal direman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuatnaik serta tidak menulis lagi tentang agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini