
Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3,000 sebagai balasan untuk mendaftarkan pusat jagaan milik sebuah syarikat.
Perintah reman selama lima hari, bermula hari ini hingga 14 Mac 2025, dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Terengganu.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Julai hingga September 2023.
“Suspek juga disyaki menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa pusat jagaan lain akan turut dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.