
Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seorang pengurus projek sebuah syarikat ditahan disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM800,000.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berkata, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2014 hingga 2018.
“Suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan negeri membabitkan satu projek pembinaan jalan di negeri ini dengan nilai berjumlah kira-kira RM800,000 sedangkan kerja tersebut tidak dibuat sepenuhnya,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy dalam kenyataan terbabit mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun jelas beliau, suspek dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Suspek akan dituduh esok di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.