Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Seorang pegawai agensi kerajaan di Pahang direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi penginapan di hotel berjumlah RM10,000 sejak dua tahun lalu.
Suspek ditahan petang semalam selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang di sini.
Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan perintahan tahanan reman terhadap suspek hingga 27 Januari selepas meneliti permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.
Difahamkan pegawai kerajaan terbabit disyaki mengemukakan 41 tuntutan palsu menginap di hotel sejak 2023.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohd Amin @ Hamim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.