comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM tahan 3 lelaki termasuk Datuk, disyaki rasuah projek perumahan RM110 juta

Antara individu yang ditahan berhubung siasatan kes berkenaan. – FOTO: Ihsan SPRM

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan kelmarin, termasuk seorang berpangkat Datuk, kerana disyaki menerima suapan berhubung sebuah projek perumahan bernilai RM110 juta di Kuantan.

Menurut sumber, salah seorang suspek bergelar Datuk itu adalah pegawai di sebuah anak syarikat milik penuh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Katanya, kesemua suspek bersama seorang lagi individu disyaki menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan untuk menandatangani perjanjian pembangunan tambahan (SDA).

“SDA terbabit membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan yang ditandatangani tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.

“Perjanjian yang ditandatangani ini dipercayai mengandungi klausa berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit,” katanya, hari ini.

Menurutnya, kesemua individu terbabit ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, untuk dirakam percakapan.

Katanya, tiga suspek berusia lingkungan 40-an hingga 60-an direman lima hari bermula hari ini hingga 3 Ogos, manakala seorang lagi individu terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas dirakam keterangan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini