Tumpuan :
Nasional

SPRM sita Menara Ilham

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bangunan Menara Ilham di ibu negara disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin lalu.

Menara Ilham sering dikaitkan dengan seorang tokoh korporat dan bekas menteri.

Bangunan itu turut menempatkan pejabat individu berkenaan.

Sumber memberitahu Buletin TV3, premis itu disita kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan kes rasuah dan penyelewengan.

“Bangunan itu disita kerana ada siasatan di bawah Akta SPRM 2009,” kata sumber.

Notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian hari ini.

Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] setelah berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pegawai SPRM.

Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih, selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.

“Menurut Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009, mana-mana orang yang melanggar kehendak notis ini atau melakukan apa-apa perbuatan yang menghasilkan, atau menyebabkan, pelanggaran terma notis ini adalah melakukan suatu kesalahan.

“Dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua kali ganda nilai harta yang berkenaan atau RM50,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” menurut notis itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu.

“Ya, betul (disita),” jawabnya ringkas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini