Tumpuan :
Nasional

SPRM siasat status syarikat ejen minta RM18,000

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika sidang media selepas Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di Putrajaya. NSTP

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat status syarikat ejen yang didakwa meminta RM18,000 daripada pelancong asing sekiranya kemasukan mereka ke negara ini ditolak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata hasil siasatan terbaharu pihaknya turut mendapati syarikat berkenaan dilantik oleh pihak yang menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Di KLIA, ada satu syarikat yang saya tidak mahu sebutkan namanya diberi tanggungjawab sejak 2017. Mereka ini adalah syarikat yang dibenarkan menguruskan mereka yang telah diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL). Jadi kita perlu siasat kewujudan syarikat ini adakah ianya kontrak yang dibenarkan atau tidak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Proses Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di sini hari ini.

Semalam, SPRM mengesahkan terdapat ejen yang meminta sehingga RM18,000 untuk menyelesaikan kemasukan pelancong asing yang tidak memenuhi syarat di KLIA.

“Disitulah kita nak kenal pasti apakah bentuk wang yang diminta daripada perempuan China ini. Kita syak yang meminta itu adalah warga asing kerana mereka bercakap menggunakan bahasa mereka dan menggunakan aplikasi Wechat,” katanya.

Jelasnya pada Khamis lalu, 41 NTL dikeluarkan pihak imigresen kepada warga asing.

Loading...
Terkini