Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat lokasi termasuk ibu pejabat FashionValet Sdn Bhd bagi siasatan berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Empat lokasi itu diserbu serentak hari ini dan disahkan menerusi laman TikTok rasmi SPRM sejam yang lalu.
Dalam video serbuan yang dikongsi, kelihatan sekumpulan pegawai SPRM masuk ke ibu pejabat berkenaan sebelum membuat pemeriksaan dokumen-dokumen berkait siasatan dijalankan.
Ketika serbuan, terdapat beberapa individu di pejabat terbabit yang turut disoal siasat pegawai SPRM.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sedang menyiasat pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat fesyen tempatan itu.
Ia berhubung kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu.
Dalam jawapan bertulis Kementerian Kewangan di Parlimen pada 28 Oktober lalu mendedahkan nilai saham Khazanah dan PNB dalam syarikat itu menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023 dengan hasil jualan bernilai RM3.1 juta.
Untuk rekod, Khazanah dan PNB masing-masing melabur RM27 dan RM20 juta bagi memperoleh pegangan minoriti dalam jenama fesyen itu pada tahun 2018.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.