comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM serah dokumen berkaitan notis merah menantu Muhyiddin, Isnin ini

Tan Sri Azam Baki ditemui pemberita selepas Program Menembak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) bersama Media 2023 sempena Ulang Tahun SPRM ke-56 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia Kajang, hari ini.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan beberapa dokumen kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Isnin ini, bagi melengkapkan permohonan notis merah Interpol terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan peguamnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu semua dokumen itu sedang dilengkapkan pihaknya termasuk draf pertuduhan kes berkenaan.

“Berkaitan permohonan kepada INTERPOL, SPRM tidak boleh melakukan sendiri sebaliknya ia perlu melalui polis. Permohonan itu ialah berdasarkan kehendak-kehendak INTERPOL.

“Berkaitan dengan isu itu (permohonan notis merah) terdapat dokumen tertentu yang perlu kita bekalkan kepada PDRM. Ia akan dilakukan dengan segera dan tidak akan mengambil masa yang lama.

“Saya jangka penyerahan dokumen itu akan dibuat pada minggu hadapan, paling awal Isnin ini,” katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata permohonan notis merah interpol terhadap dua individu termasuk Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan iaitu menantu Muhyiddin dalam proses dilengkapkan.

Katanya, maklumat tambahan yang diperlukan Interpol berhubung perkara itu sudah dirujuk kepada SPRM.

Bulan lalu, Azam berkata  Muhammad Adlan, 48, dan peguam Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM  bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kedua-dua mereka didapati meninggalkan Malaysia pada 17 dan 21 Mei lalu dan tiada rekod masuk semula ke negara ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini