Tumpuan :
Nasional

SPRM selesai temu bual doktor rawat Ismail Sabri

Sesi temu bual diadakan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, hari ini.

KUALA LUMPUR: Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menemu bual seorang doktor yang merawat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menurut sumber kepada Buletin TV3, sesi itu diadakan kira-kira satu jam di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya bermula jam 5 hingga 6 petang.

Ia bagi mengetahui status kesihatan terkini Ahli Parlimen Bera itu.

Semalam, media melaporkan Ismail Sabri tidak dapat hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM seperti dijadualkan atas faktor kesihatan.

10 Februari lalu, Ismail Sabri dilapor telah memberi keterangan kepada SPRM yang membawa kepada penahanan empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya.

Ia kemudian membawa kepada penemuan wang tunai pelbagai mata wang negara berjumlah RM170 juta di tiga premis dan 16 jongkong emas bernilai RM7 juta di sebuah kediaman didakwa sebagai ‘safehouse’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Isnin lalu, turut mengesahkan Ahli Parlimen Bera itu bukan lagi saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, sebaliknya seorang suspek dalam kes terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini