comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] SPRM Selangor reman penjawat awam disyaki minta, terima rasuah RM18,000

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang penjawat awam disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000 berkaitan perolehan perkhidmatan sebuah jabatan penyiaran negara pada 2023.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dan telah menerima rasuah bernilai kira-kira RM18,000 melalui kemasukan wang ke akaun bank miliknya.

“Siasatan awal turut mendapati suspek menerima rasuah ini sebagai balasan untuk mendapatkan perolehan perkhidmatan seperi sewaan lori, percetakan bahan promosi, sewaan LED, penyediaan makan dan minum yang melibatkan penganjuran program pada tahun 2023,” katanya.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dan perintah reman selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini