comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM sedia siasat pegawai bocor maklumat kepada media

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menyiasat sebarang dakwaan membabitkan pegawainya yang membocorkan maklumat kepada media atau mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata berdasarkan rekod SPRM, belum ada laporan polis yang dibuat berhubung perkara berkenaan kerana dakwaan itu adalah terlalu umum.

Katanya, banyak pihak terbabit sama ada ketika proses siasatan atau permohonan reman.

Ini termasuk atas kapasiti mereka sebagai suspek, saksi, pihak mahkamah, peguam atau pemberita.

Bangunan Ibu Pejabat SRPM Putrajaya.-Foto fail.

“Siasatan SPRM di mana-mana premis juga sering menjadi perhatian umum, justeru pihak yang berkenaan ketika penyiasatan berlaku juga mempunyai pengetahuan berkaitan siasatan berkenaan,” katanya.

Menurut Azalina, atas sebab itu adalah agak sukar untuk mengesahkan atau menuduh mana-mana pihak sebagai terbabit dalam apa-apa pembocoran maklumat berkaitan dengan sesuatu siasatan.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN – Tasek Gelugor) sama ada laporan polis dibuat dan apa tindakan kerajaan berkaitan kebocoran maklumat kepada media melalui ‘sumber’.

Katanya, pegawai SPRM akan mengawal segala maklumat berkait dengan sesuatu penyiasatan bagi mengelakkan maklumat itu terdedah kepada pihak yang tidak berkaitan dan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Bagi kes-kes salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai SPRM, ianya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 15 Akta SPRM [Akta 694]. Bagi kes jenayah yang membabitkan pegawai, ianya akan dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas Azalina.

Menurut Azalina, selaras bidang kuasanya, SPRM hanya menyiasat kes-kes berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Azalina berkata dalam hal ini, SPRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil bagi memastikan tiada pihak teraniaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini