KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia memberikan sokongan dari segi khidmat nasihat dan latihan dalam usaha penubuhan Unit Integriti di 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sokongan diberikan itu bagi memastikan penubuhan Unit Integriti di PBT berkenaan selaras keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian 1.2.1: Penubuhan Unit Integriti (UI) di semua Sektor Awam seperti disarankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
Setakat ini, beliau berkata hanya 49 PBT menubuhkan Unit Integriti masing-masing dan SPRM menggesa penubuhan unit ini di setiap PBT diberikan keutamaan.
Mengulas kepentingan Unit Integriti, beliau berkata ia penting untuk membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi.
Untuk tujuan ini, katanya Unit Integriti perlu melaksanakan enam Fungsi Teras dengan berkesan iaitu Tadbir Urus; Pengukuhan Integriti; Pengesanan dan Pengesahan; Pengurusan Aduan; Pematuhan; dan Tatatertib.
“Dalam hal ini, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi Unit Integriti, di samping menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan bagi agensi-agensi awam.
“Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti.
“SPRM mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi berterusan daripada agensi awam untuk melaksanakan inisiatif digariskan dalam NACS.
Melalui usaha ini, kita dapat memperkukuh imej negara dan merealisasikan aspirasi bersama untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya.
Semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan 12 PBT diturunkan penarafan di bawah Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) susulan penyenaraian kriteria baharu berkaitan pencegahan rasuah.
Mengulas perkara itu, Azam berkata SPRM menyambut baik inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memasukkan elemen antirasuah dalam sistem penilaian PBT bermula tahun ini.
“SPRM yakin inisiatif ini akan mempertingkatkan ketelusan dalam prestasi PBT. Langkah ini penting untuk memperkukuh integriti, tadbir urus, dan tatakelola demi merealisasikan sistem perkhidmatan awam yang cekap, bersih, dan berkesan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.