PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti semua dokumen diterima daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta yang dikaitkan dengan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya masih belum membuka kertas siasatan berkaitan perkara itu, namun penelitian menjurus kepada isu rasuah serta tadbir urus.
“SPRM belum lagi membuka kertas siasatan kerana kita tidak tahu duduk benarnya perkara ini dan bukan semua kes boleh diambil daripada maklumat awam sama ada dari media sosial atau arus perdana sebelum diambil tindakan siasatan kerana dikhuatiri ia memungkinkan timbul andaian ataupun memangsakan seseorang.
“Sebab itu kita biarkan dahulu DBKL menjalankan penyiasatan dalaman mereka dan pegawai integriti kami memang sudah ditempatkan di sana dan pegawai saya juga terbabit dalam siasatan dalaman berkenaan,” katanya lada sidang media di sini, hari ini.
Semalam, DBKL mengesahkan sudah menyerahkan dokumen dan maklumat kepada SPRM berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihatnya yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan penyerahan dokumen dan maklumat berkaitan untuk membantu siasatan SPRM.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat berkenaan dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.