comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM sasar Malaysia tangga ke-25 CPI dalam 10 tahun – Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin Malaysia mampu mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun tidak mudah, namun beliau yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat tahun demi tahun.

Beliau berkata, pada penilaian CPI 2023, kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 57 berbanding tangga ke-61 pada tahun sebelumnya.

“Untuk meningkatkan lagi ke arah (tangga ke-25) dalam tempoh 10 tahun ini, pelbagai usaha dibuat. Sebagai contoh, ditubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai SPRM membabitkan banyak pemegang taruh.

“Antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Kewangan (MOF), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Semua agensi ini terbabit dalam CPI kerana CPI ini bukan saja membabitkan tindakan mencegah rasuah dalam negara ini, tetapi juga isu lain seperti tata kelola, etika perniagaan dan sebagainya,” katanya selepas menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.

Untuk rekod, CPI Malaysia 2023 naik tiga mata kepada 50 mata, berbanding 47 mata pada 2022.

Skor itu meletakkan Malaysia di kedudukan 57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga 61 pada 2022.

Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 83 dan berada di tangga kelima daripada 180 negara.

Mengulas lanjut, Azam berkata, melalui penubuhan jawatankuasa dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara itu, semua pihak terbabit akan membincang kaedah terbaik untuk meningkatkan kedudukan CPI negara.

“Tetapi untuk ‘quick win’ sekarang, tindakan SPRM yang mana menguatkuasakan undang-undang, pendidikan masyarakat dan membetulkan tata kelola serta undang-undang mana yang lapuk untuk diperbaiki.

“Ini kerana ia juga menjadi persoalan oleh Transparency International untuk melihat bagaimana kita berubah atau tidak, kita memperbaharui atau tidak sistem tata kelola dan undang-undang di negara kita yang akan menyebabkan berlakunya rasuah.

“Setakat ini sangat baik dan saya jangka tahun ini akan berlaku lagi peningkatan (kedudukan Malaysia) antara tangga 50 ke 55,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini