Tumpuan :
Nasional

SPRM pikul tonggak utama pertahan tatakelola baik, integriti – PM

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memikul tonggak penting dalam mempertahankan tadbir urus dan integriti sistem negara ini.

Justeru, Perdana Menteri mahu prinsip itu terus dipelihara bagi membantu kerajaan merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas tanpa anasir rasuah, termasuk memastikan suruhanjaya itu kekal berintegriti.

Untuk itu, beliau menegaskan perubahan perlu bermula dari peringkat atasan dan segala perancangan harus dilaksanakan tanpa berlengah lagi.

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

“Saya sempat menghadiri Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM 2025 semalam bagi meraikan seluruh keluarga SPRM.

“Saya tegaskan, SPRM adalah tonggak utama untuk mempertahan tatakelola, sistem yang mempunyai integriti dan menyelamatkan bangsa dan negara dari keruntuhan berterusan.

“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk membina sebuah negara wibawa yang bersih dan ke arah memperkasa SPRM menjadi badan bebas dan berintegriti.

“Mesti ditegaskan, perubahan mesti dari pimpinan atas dengan amalan, tindakan dan bukan hanya dengan jaminan kata-kata sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Anwar merasmikan Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini