comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM nafi tawar RM100,000 untuk maklumat mengenai aset Daim

Foto: SPRM/ Facebook

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan agensi itu menawarkan ganjaran RM100,000 kepada orang awam untuk berkongsi maklumat mengenai aset bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

SPRM menerusi laman web rasmi Facebooknya turut meletakkan perkataan “PALSU” di atas kenyataan berhubung ganjaran RM100,000 itu.

Kenyataan bergambar bertarikh semalam itu dipercayai dikongsi pengguna X atas nama BurnAmir beberapa jam yang lalu.

Di dalamnya turut disertakan gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Daim.

Kenyataan palsu itu berbunyi, SPRM menggesa orang awam membantu agensi itu dalam siasatan kes pengisytiharan harta Daim.

Kononnya Dr Mahathir dan Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mengikut kenyataan itu lagi, mereka yang mempunyai maklumat mengenai Dr Mahathir dan Daim boleh menghubungi pegawai menyiasat dan sebarang maklumat yang dapat membantu siasatan akan diberi ganjaran RM100,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini