comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM mulakan siasatan projek 1BestariNet

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd  (YTL) pada tahun 2011.

Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd yang terletak di Kuala Lumpur, hari ini.

“Hasil penggeledahan tersebut, sejumlah dokumen telah disita dan SPRM sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion,” katanya.

Sumber berkata, fokus siasatan SPRM juga adalah menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada SPRM bagi melaksanakan siasatan tanpa sebarang gangguan.

Sebelum ini, media melaporkan, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penyelewengan projek 1BestariNet yang dilaksanakan YTL.

MKM mendakwa projek yang diluluskan pada tahun 2012 ketika Tan Sri Muhyiddin menyandang jawatan Menteri Pendidikan telah gagal mencapai objektif dan dibayar melebihi kos yang sepatutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini