Oleh Aslina Abu Bakar
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini melancarkan Pasukan Khas Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR).
Penubuhan pasukan berkenaan bertujuan menyebarluas maklumat mengenai anti rasuah dan menyokong usaha pihak SPRM meminimalkan kes rasuah yang berlaku di dalam negara.
Ketua Pesuruhjaya agensi itu, Tan Sri Azam Baki dalam ucapannya berkata, penubuhan itu dilakukan atas dasar keprihatinan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu pihaknya menyumbang kepakaran dan mengembalikan nama baik negara yang tercemar angkara rasuah.
“Saya percaya NGO seperti PAKAR ini akan bersama-sama membantu kami dengan kepakaran masing-masing kerana mereka yang ada ini semua mempunyai kepakaran dan bidang yang khusus untuk disumbangkan kepada negara.
“Usaha ini sekaligus dapat membantu pihak kami menyebarluas kefahaman masyarakat mengenai anti korupsi selain mengembalikan nama baik negara yang terjejas ekoran rasuah yang berlaku di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden PAKAR, Datuk Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, pengambilan jawatankuasa tertinggi PAKAR akan dilakukan di seluruh negeri membabitkan bekas-bekas pegawai tertinggi (SPRM).
“Kita tahu tugas penguatkuasan ini tidaklah ramai mana kalau lah kita mengambil kira mereka yang terlibat dalam sektor pencegahan ni sahaja adalah seramai 300 orang sahaja, kalau kita ratio dia dengan jumlah perkhidmatan awam dia hanya 0.01 peratus sahaja.
“Oleh itu, pengambilan anggota akan dilakukan tidak lama lagi dan mereka akan ditugaskan untuk mendidik masyarakat secara khusus dan tidak melibatkan aktiviti penguatkuasaan,” katanya yang ditemui selepas Majlis Pelancaran PAKAR di Ibu Pejabat SPRM, di sini.