Tumpuan :
Nasional

SPRM: Kerjasama pihak berkuasa antarabangsa dalam isu 1MDB masih berjalan

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam usaha pemulangan aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih diteruskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya belum menerima sebarang surat rasmi berhubung penamatan unit antirasuah elit Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang menyiasat kes tersebut.

Menurut beliau, walaupun pasukan khas itu ditutup, SPRM tetap berharap pihak berkuasa seperti DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan terus memberi kerjasama dalam usaha memulangkan aset yang diselewengkan.

“Kami dari SPRM berharap kerjasama dengan pihak berkuasa di sana, seperti DOJ dan FBI, masih lagi diteruskan dalam isu pemulangan aset yang sedang diusahakan sehingga ke hari ini.

“Walaubagaimanapun, jika pihak mereka enggan bekerjasama, itu terpulang kepada mereka,” katanya kepada Buletin TV3, hari ini.

Ketika ditanya mengenai jika pihaknya menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri berhubung penamatan pasukan khas DOJ berkenaan, Tan Sri Azam menjelaskan bahawa SPRM tidak menerima sebarang arahan rasmi berhubung perkara itu.

“Setakat ini, kami tidak menerima arahan rasmi mengenai penamatan ini.

“Jadi, boleh saya katakan bahawa status quo buat masa ini ialah kerjasama antara kami dan pihak berkuasa di sana masih berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan wartawan penyiasat Bradley Hope yang juga pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ mengenai skandal 1MDB AS$4.5 billion, mendedahkan bahawa DOJ AS telah menutup unit elit antirasuah berkenaan.

Hope berkata keputusan untuk menutup unit yang terkenal kerana mendakwa skandal 1MDB itu diumumkan secara senyap-senyap oleh Peguam Negara AS yang baru, Pam Bondi melalui e-mel pada 5 Feb lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Azam turut mengesahkan bahawa setakat ini, Malaysia telah berjaya mendapatkan kembali aset bernilai kira-kira RM29.5 bilion hasil daripada siasatan dan usaha pemulangan dana yang dilakukan.

“Setakat yang telah dipulangkan, jumlahnya lebih kurang RM29.5 bilion. Jadi, daripada jumlah prinsipal hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion, kita telah berjaya mendapatkan semula lebih kurang 60 peratus daripada jumlah tersebut,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini