PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) komited meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran membanteras jenayah rasuah di peringkat serantau dan antarabangsa.
Kerjasama itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat FBI diketuai Legal Attaché FBI, Jagdeep Khangura ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, Assistant Legal Attaché FBI, Cody Kirk dan in-coming Legal Attaché, Varinder Singh.
Azam berkata, SPRM bersedia untuk memberikan kerjasama menentang rasuah termasuk dalam aspek pencegahan penggubahan wang haram.
“Kekuatan serta keakraban hubungan di antara SPRM dan FBI jelas diperlihatkan melalui pencapaian pemulihan aset terutamanya daripada kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, kedua-dua pihak memberi fokus tentang kerjasama risikan dan siasatan dalam kes berprofil tinggi membabitkan Malaysia dan Amerika Syarikat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.