comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM buat laporan polis tuduhan palsu Razali

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah didakwa dikeluarkan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris.

SPRM dalam kenyataannya memberitahu, laporan itu susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali.

“Di dalam hantaran berkenaan, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November 2023.

“Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan,” katanya.

SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.

 

Katanya, SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas serta profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.

“Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah dan tohmahan terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini