KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 orang individu termasuk 2 orang pegawai agensi kerajaan, 4 orang doktor perubatan swasta dan 6 orang awam kerana dipercayai terlibat dalam tindakan memalsukan dokumen sijil lahir untuk mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.
Menurut sumber, kesemua suspek lingkungan usia 42 hingga 81 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.00 petang tadi dalam satu siri serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Tambah sumber itu lagi, pemohon (orang awam) akan membayar wang rasuah sama ada secara peribadi atau menerusi orang tengah kepada doktor terbabit bagi mendapatkan surat pengesahan kelahiran palsu.
Borang kelahiran itu kemudian akan digunakan pemohon atau orang tengah untuk menguruskan pendaftaran kelahiran bayi.
Siasatan turut mendapati beberapa pegawai kerajaan turut terlibat dalam kes itu apabila borang itu ditolak atau disenarai hitamkan.
Difahamkan jumlah bayaran rasuah yang diterima mereka adalah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi setiap kes.
Menurut Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur esok pada kira-kira jam 8.30 pagi untuk urusan permohonan reman.