Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 12 akaun dan menyita beberapa aset susulan penahanan enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bahagian Perisikan SPRM merampas beberapa dokumen berkaitan seperti Airway Bill, pesanan pembelian, baucar pembayaran, pesanan penghantaran, dokumen Electronic Pre-Alert Manifest (ePAM), dokumen K1, dan beberapa dokumen lain yang berkaitan kes.
Ujarnya, bahagian perisikan SPRM sudah mengenalpasti penerbangan yang membawa vape itu datang dari Macau dan Hong Kong, namun usaha memastikan barang seludup itu berasal dari negara mana masih sedang giat dijalankan.
“Barang dibawa masuk ke Malaysia dengan cara pengikraran yang tidak betul dilakukan bermula dari sana lagi.
“Dipercayai sindiket ini mempunyai rangkaian antarabangsa untuk membuat pengikraran yang tidak betul bagi mengelirukan pihak berkuasa di negara ini terutamanya pihak kastam.
“Pengikraran yang tidak betul menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mengesan barangan tersebut, dan bagi melepasi sekatan pemeriksaan di pintu keluar kastam, bayaran rasuah telah diberikan untuk membolehkan vape itu tidak diperiksa,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambahnya, barangan itu dinyatakan di dalam Airway Bill sebagai Lithium Ion Battery dan langsung tidak diikrarkan ke dalam sistem ePAM ataupun borang K1.
Mengulas mengenai penahanan mereka yang terbabit, jelasnya kesemua pegawai kastam yang ditahan bermula dari gred WK19 sehingga WK22.
Mengikut siasatan, salah seorang daripada mereka berperanan sebagai ‘collector’ yang menerima rasuah sebanyak RM4,000 sehingga RM6,000 sehari sebelum rasuah itu diagih-agihkan antara pegawai kastam yang lain.
Siasatan sedang giat dijalankan dan beberapa suspek lain juga sedang dikenal pasti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.