comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM akan semak keberadaan menantu Muhyiddin, peguam

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

MERSING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyemak perkembangan notis merah dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Adlan dan peguamnya Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lalu.

“Itu (di mana keberadaan Muhammad Adlan dan peguamnya) kita belum dapat maklumat lagi.

“SPRM akan semak lagi dengan Interpol (sama ada sudah dikesan). Buat masa ini, kita tunggu dia (Muhammad Adlan) kembali ke negara ini untuk pertuduhan di mahkamah.

“Usaha masih dijalankan, kita juga telah memohon kepada PDRM untuk menyenaraikan Muhammad Adlan dalam senarai orang dikehendaki. SPRM masih berusaha, bukan dia seorang, tetapi juga peguamnnya

“Kita sekarang ini tunggu dia (Muhammad Adlan) balik (ke Malaysia) dulu sebelum menuduhnya di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias dan Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah.

Khamis lalu, Azam dilaporkan mengesahkan beberapa kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan yang juga ahli perniagaan, sudah lengkap.

Azam dilaporkan berkata kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan yang juga menantu kepada Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, itu membabitkan beberapa dakwaan, termasuk jenayah pecah amanah (CBT).

Dalam laporan media sebelum ini, SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Mereka ialah Muhammad Adlan dan peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Interpol.

Tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu.

Pada 28 Februari 2023, Muhyiddin ketika berucap di Dewan Rakyat, menafikan dakwaan anak dan menantunya (Adlan) memperoleh kontrak dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Beliau berkata demikian ketika mencelah selepas kekecohan berlaku sebaik Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membuat dakwaan itu pada awal perbahasan Belanjawan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini