comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM akan bekukan beberapa lagi akaun, aset 20 projek jutaan ringgit MBI

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak akan membekukan lagi beberapa akaun dan aset bernilai jutaan ringgit yang membabitkan 20 projek Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya sudah membekukan beberapa akaun dan aset daripada projek terbabit.

“Kami ada membekukan beberapa aset namun saya tiada perincian lanjut mengenainya.

“Namun saya tidak menafikan akan pembekuan aset dan akaun berkaitan projek itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara PERKESO di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Terdahulu, SPRM menyiasat 20 projek MBI yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti rasuah.

Sehubungan itu, SPRM turut menyiasat lima syarikat dikatakan mempunyai saham membabitkan beberapa individu termasuk ahli politik terkait dengan kes itu.

Semalam, Azam berkata sesiapa sahaja boleh dipanggil pihaknya ketika ditanya berhubung identiti ahli politik yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes rasuah MBI.

Dalam pada itu, Azam berkata, tiada perkembangan baharu setakat ini berhubung siasatan membabitkan 20 projek MBI yang dipercayai mempunyai kaitan aktiviti rasuah.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pihak yang direman dalam tempoh tujuh hari.

“Tiada perkembangan baharu kerana siasatan tertumpu kepada individu yang ditahan semula dan tiada tangkapan baharu.

“Selain itu pegawai penyiasat sedang menyiasat untuk mengesan saham yang disyaki diterima secara rasuah yang disimpan dalam beberapa syarikat.

“Seperti disebutkan ada 20 syarikat, kami memerlukan masa sedikit dan kami bukan ‘James Bond’ yang menyelesaikan kes dalam masa sehari,” katanya.

Azam berkata, pihaknya akan berkongsi perkembangan terkini kes dalam tempoh beberapa hari ini berkaitan kes MBI itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini