PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Pencegah Rasuah (ACA) Republik Uzbekistan memperkukuhkan kerjasama melalui Pelan Tindakan dalam bidang latihan profesional, strategi antirasuah serta perkongsian amalan terbaik.
Pelan Tindakan itu ditandatangani dalam usaha mempertingkatkan akauntabiliti, serta memperkukuhkan mekanisme, pembangunan dan perundangan berkaitan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama ini adalah sejajar dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev bagi memerangi rasuah yang dizahirkan dalam satu pertemuan pada Mei tahun lalu.
Menurutnya, Pelan Tindakan itu juga adalah kesinambungan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara SPRM dan ACA Republik Uzbekistan pada Mei 2022.
“Menerusi Pelan Tindakan ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan kapasiti, penganjuran dan penyertaan bersama dalam forum, bengkel serta seminar, penempatan silang pegawai dan perkongsian pengetahuan dalam sektor operasi, pencegahan, pendidikan dan pengurusan,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Menandatangani Pelan Tindakan di antara SPRM dan ACA Republik Uzbekistan di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah ACA Republik Uzbekistan, Dr Akmal Burkhanov turut berharap Pelan Tindakan itu dapat mendorong dan mengukuhkan akademi antirasuah yang baharu dibangunkan oleh ACA melalui kerjasama strategik bagi pembangunan modul dan tenaga pengajar.
Pelan Tindakan itu ditandatangani oleh Tan Sri Azam bersama Dr Akmal Burkhanov dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, DatukAzmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Datuk Idris Zaharudin; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dan Pengarah Akademi SPRM (MACA), Datuk Saiful Ezral Arifin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.