Oleh Kumaran Rajamoney
KULIM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan enam negeri yang dijadualkan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun hadapan, mengadakannya secara serentak.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata langkah itu akan memudahkan SPR dalam membuat koordinasi bagi memudahkan parti politik yang bertanding, serta pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.
“Kita boleh menyusun dari segi petugas yang turun menjalankan kerja. Kita tidak ada kuasa dalam soal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), maka seeloknya kepimpinan negeri dapat membuat perancangan bersama dalam soal ini.”
“Kita akan membelanjakan sekitar RM450 juta bagi PRN, samada ia diadakan serentak atau berasingan. Dari segi kos, ianya tidak ada kesan besar tetapi adalah mudah untuk pihak SPR jika ianya dijalankan sekali harung,” katanya.
SPR bagaimanapun tidak ada cadangan tarikh sesuai bagi pelaksanaan PRN, dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan pimpinan negeri masing-masing.
Negeri-negeri yang bakal berhadapan PRN ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN), serta Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas PRU yang ditangguhkan selepas calon meninggal dunia di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, Tan Sri Abdul Ghani menjelaskan SPR akan memperhalusi samada tempoh had 60 hari wajar dilanjutkan untuk melaksanakan pilihan raya.
“Banyak persiapan yang perlu dilihat dari segi tempat mengundi, dari segi petugas. Petugas kita tahun ini terlalu ramai sehingga mencapai angka 370,000 orang. Kita perlu mengkaji semula tempoh had pelaksanaan pilihan raya untuk membolehkan kita menjalankan kerja dengan selesa.”
“Kita akan cuba dipanjangkan sebab tempoh ini ditetapkan sejak dahulu. Ianya agak sempit sedikit dengan keadaan penambahan undi yang banyak daripada 14.9 juta pengundi kepada kepada 21 juta pengundi. Jumlah ini akan meningkat sebanyak 500,00 pengundi setiap tahun selepas pelaksanaan Undi-18,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen Padang Serai, di sini.