MARANG: Badan pemantau pilihan raya, BERSIH, menggesa pihak berkuasa menyiasat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, atas dakwaan memakai rompi (jaket tanpa lengan) yang memaparkan logo parti itu ketika mengundi pagi tadi.
Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, berkata perbuatan Hadi terbabit jelas satu kesalahan pilihan raya kerana apa-apa pakaian dengan simbol atau logo parti di dalam pusat mengundi adalah dilarang.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis harus menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan.
Mengikut Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengundi tidak dibenarkan memakai, memegang atau membawa sebarang bentuk pakaian atau barangan yang memaparkan nama calon, lambang atau simbol mana-mana parti politik semasa mengundi atau dalam lingkungan 50m dari pusat mengundi.
“Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.
Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir mengundi di Pusat Pembuangan Undi (PPU) Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang.
Bercakap kepada media di lokasi itu,. Abdul Hadi berharap semua pihak menerima apa sahaja keputusan yang dibuat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga calon PAS Parlimen Marang, berkata semua pihak termasuk calon dan penyokong perlu bersikap matang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi apabila keputusan PRU-15 diumumkan SPR malam ini.
Katanya, suasana tenang dan aman sepanjang tempoh berkempen sebelum ini perlu dikekalkan walau apa juga keputusan yang akan diumumkan nanti.
“Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara yang beradab dan bersopan. Alhamdulillah saya dapati setakat ini (sepanjang kempen) tidak ada perkara yang tidak diingini di seluruh negara.
“Ini satu keadaan yang baik yang tenang (dan) kita harap suasana yang tenang dan aman ini berterusan walau apa pun keputusan pilihan raya,” katanya.
Abdul Hadi turut mengingatkan semua pengundi di seluruh negara menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi itu tinggi dan kesedaran juga tinggi,” katanya.
PRU-15 kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru di Parlimen Marang antara penyandangnya, Abdul Hadi yang ditentang calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman; Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Zarawi Sulong.
Pada PRU-14, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.
Ketika itu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795 undi) dan Zarawi (5,318 undi).-Berita Harian