PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi serta urusan lain yang berkaitan.
Demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khasnya sebentar tadi.
“Penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya
Menurut beliau, dengan pengumuman itu, mandat kini dipulangkan kepada rakyat bagi mewujudkan kerajaan teguh, stabil dan dihormati selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).
“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15,” katanya.