Tumpuan :
Nasional

SPR adakan mesyuarat khas PRK Parlimen Kemaman 17 Oktober

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu pada 17 Oktober ini, menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“SPR telah menerima Laporan Hakim Pilihan Raya susulan keputusan petisyen pilihan raya di mana mahkamah telah membatalkan keputusan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman pada 19 November tahun lalu.

”Sehingga tamatnya tempoh 14 hari rayuan, tiada notis rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah tersebut,” katanya.

Justeru, selaras Seksyen 36C Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengeluarkan notis pilihan raya bagi mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh akhir ditetapkan untuk pemfailan rayuan.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, membenarkan petisyen pilihan raya difailkan pempetisyen, Wan Mohd Hisyam Wan Abdul.

Keputusan dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU-15.

Loading...
Terkini