Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang mengeksploitasi isu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diteruskan meskipun negara masih berdepan bencana banjir.
Perdana Menteri berkata, gesaan pembangkang supaya peperiksaan itu ditangguhkan tidak mengikut konteks keadaan semasa.
“Sudah pasti mereka (pembangkang) menyerang (keputusan SPM diteruskan) tetapi saya ingin mengingatkan mereka bahawa ini adalah peperiksaan lisan (ujian bertutur). Anda tidak perlukan buku dan pen.
“Pembangkang jadikan ia sebagai isu besar bahawa pelajar kehilangan pen (akibat banjir) dan diminta untuk hadir peperiksaan. ‘This is oral exam. Oral means oral la (Ini adalah ujian bertutur. Lisan bermaksud lisanlah),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI kepada Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk meneruskan ujian bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 bermula 2 hingga 5 Disember lalu seperti dijadualkan biarpun menerima kritikan khususnya oleh pihak pembangkang.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, tindakan KPM memindahkan calon SPM yang terjejas banjir ke asrama sekolah adalah langkah tepat.
Jelasnya, kebajikan semua pelajar yang terlibat dalam peperiksaan telah diurus dengan baik termasuk penyediaan penginapan berasingan untuk memudahkan mereka membuat persediaan.
“Sudah tentu keputusan KPM untuk meneruskan peperiksaan ini dieksploitasi oleh pihak pembangkang. Tetapi seperti yang anda tahu, kita telah menghadapi situasi ini selama beberapa dekad dan peperiksaan tidak pernah ditangguhkan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menzahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi termasuk pihak polis, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atas usaha gigih mereka memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan.
Beliau turut memuji pihak berkuasa kerana menyediakan asrama sementara untuk pelajar yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Menariknya, daripada pengalaman lalu, pelajar yang ditempatkan di asrama ini cenderung mendapat keputusan yang lebih baik.
“Jika di rumah, tiada jaminan mereka akan belajar setiap hari, setiap malam. Tetapi di asrama, guru akan datang, ada tugasan dan rakan-rakan mereka adalah mereka yang komited dan serius dalam pelajaran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.