comscore
Tumpuan :
Nasional

SPM 2023: Trend ambil mata pelajaran sains tulen menurun

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapati trend pelajar mengambil mata pelajaran seperti Matematik Tambahan dan tiga subjek sains tulen iaitu Fizik, Kimia serta Biologi merekodkan penurunan.

Menterinya, Chang Lih Kang, berkata trend itu berdasarkan calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang merekodkan penurunan sebanyak 3.33 peratus bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Biologi (2.2 peratus), Fizik (1.42 peratus) dan Kimia (1.42 peratus) berbanding tahun 2022.

“Berdasarkan trend penurunan pelajar yang mengambil subjek sains tulen ini, MOSTI memerlukan strategi dan sinergi bersepadu dari semua pihak berkepentingan melalui pendekatan ‘quadraple helix’ supaya bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) dapat dibangunkan untuk mencapai misi dan aspirasi negara maju berteknologi tinggi menjelang 2030 kelak.

“Mata pelajaran ini penting kerana menjadi prasyarat untuk membolehkan mereka ke peringkat pengajian tinggi dalam aliran teknologi tinggi seperti bidang perubatan, kejuruteraan, farmasi, bioteknologi dan cabang jurusan berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, berdasarkan keputusan SPM 2023 yang diumumkan semalam, semua empat mata pelajaran elektif Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bagi sains tulen iaitu Kimia, Fizik dan Biologi termasuk Matematik Tambahan merekodkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, mata pelajaran Fizik khususnya mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.22 mata, menjadikan mata pelajaran berprestasi terbaik dalam kumpulan elektif STEM dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 4.15 mata.

“Ujian Amali Sains (UAS) sebagai satu daripada kertas peperiksaan Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan pula, adalah selari dengan strategi memartabatkan pendidikan STEM di bawah Teras 4 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030,” katanya.

Beliau berkata, MOSTI melalui Jawatankuasa Pemandu Bakat STI amat teruja dengan peningkatan pencapaian bagi semua mata pelajaran STEM di peringkat SPM yang menjadi langkah sangat bermakna dalam mencorakkan pola pendidikan pada peringkat lebih tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini