comscore
Tumpuan :
Nasional

SPM 2023 rekod tren penurunan pelajar aliran Sains, Matematik – Chang

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jumlah pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang menduduki subjek aliran sains dan matematik menunjukkan tren penurunan dalam tempoh enam tahun, menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata berdasarkan hasil analisis yang dijalankan Pusat Maklumat Sains Dan Teknologi Malaysia (MASTIC) mendapati bahawa tren penurunan itu meliputi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Beliau berkata hasil kajian itu juga mendapati sebanyak 17.37 peratus penurunan direkodkan bagi subjek Matematik Tambahan pada 2023 berbanding 2018.

“Penekanan kepada pengukuhan tahap penguasaan bagi subjek Matematik perlu ditingkatkan berdasarkan jumlah pelajar yang gagal dalam subjek Matematik dan Matematik Tambahan,” katanya pada Majlis Pelancaran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 di sini, hari ini.

Oleh itu, beliau berkata pihaknya komited untuk terus menggembleng tenaga bersama Kementerian Pendidikan dalam membudayakan Sains Teknologi dan Inovasi (STI) melalui program pembudayaan di luar bilik darjah yang berterusan kepada golongan kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah untuk memperkasakan Agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Negara.

Selain itu, pihaknya juga akan meneruskan penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) 2024 secara hibrid dengan sasaran penglibatan lebih 600,000 orang.

Chang berkata MSN 2024 akan merangkumi penganjuran secara karnival dan aktiviti secara dalam talian sehingga Oktober tahun ini bagi memaksimumkan penglibatan dan penyertaan dalam kalangan masyarakat, terdiri daripada pelajar sekolah dan penuntut universiti.

“MSN 2024 mendukung tema ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi’ yang menekankan aspek keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam menyemarakkan inovasi sains sejajar dengan kepesatan teknologi terkini,” katanya pada Majlis Pelancaran Karnival MSN 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata Karnival MSN 2024 yang bermula semalam hingga hari ini di Pusat Sains Negara juga akan diadakan di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Putrajaya.

Chang berkata MSN 2024 itu juga memberi fokus kepada tujuh bidang seperti Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Kegunaan Aman Nuklear, Inovasi Sosial, Kejuteraan dan Kecerdasan Buatan, Nanoteknologi dan Angkasa.

“Pemilihan bidang fokus ini bertujuan untuk memberi penekanan dan kefahaman terhadap kepentingan STI yang saling berkaitan antara satu sama lain serta menyokong agenda matlamat pembangunan mampan,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini