comscore
Tumpuan :
Nasional

SPM 2023: KPM laksana pengesanan segera calon tercicir

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan pengesanan calon tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara ulangan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ia antara langkah segera bagi mengurangkan calon tidak menduduki peperiksaan berkenaan.

Katanya, dari segi kehadiran 373,525 orang calon atau 97.4 peratus menduduki SPM 2023, manakala jumlah calon tidak hadir berjaya dikurangkan 1.2 peratus berbanding tahun lalu.

“Pencapaian ini hasil intervensi dilaksanakan di setiap peringkat membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

“Namun, KPM tetap mengambil perhatian berkenaan calon tercicir atau tidak hadir peperiksaan SPM 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata, intervensi sama bagi mengesan calon tercicir dilaksanakan tahun lalu dan berjaya membuahkan hasil positif.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 adalah pemangkin dalam usaha berterusan mereformasikan pendidikan negara.

“Tahniah diucapkan kepada semua calon SPM 2023, guru dan seluruh warga KPM yang berusaha keras memastikan peningkatan prestasi secara keseluruhan,” katanya.

Keputusan SPM 2023 menyaksikan Gred Purata Nasional (GPN) adalah 4.60 dengan peratusan calon layak menerima sijil adalah sebanyak 93.5 peratus.

Seramai 11,713 calon berjaya memperoleh gred semua A dengan keputusan itu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Terdahulu, seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 dilaporkan tidak hadir menduduki peperikaaan itu.

Justeru, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini