KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan bermula pada 5 Disember depan hingga 7 Mac 2024.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan Ujian Amali Sains dijadual pada 5 hingga 7 Disember, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 8 hingga 11 Januari.
Manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari, tahun depan.
Ia disusuli Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 29 Januari seterusnya Ujian Bertulis pada 30 Januari hingga 7 Mac.
“Jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2023 mengambil kira setiap perkara termasuk jumlah hari persekolahan serta Hari Kelepasan Am Persekutuan dan Negeri.
“Sila layari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my untuk maklumat lanjut dan muat turun Jadual Waktu Peperiksaan SPM Tahun 2023,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini, melaporkan peperiksaan SPM 2023 dijangka bermula pada Disember depan sejajar langkah KPM bagi mengembalikan sesi permulaan persekolahan kembali kepada asal iaitu pada Januari secara beransur-ansur.