JERANTUT: Anak penjual air batu di bandar ini berjaya memperolehi keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan hari ini.
Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura (SMKI), Muhammad Izwan Hanif Ielaham, 18 berkata memberi fokus sepenuhnya dengan mendengar pengajaran guru di dalam kelas serta melakukan ulangkaji serta menghadiri kelas tambahan adalah salah satu resepi kejayaannya.
Anak ketiga dalam keluarga, Izwan menjadikan kakaknya yang sedang menjalani pengajian dalam jurusan undang-undang sebagai sumber inspirasi.
“Selain itu, hormat guru, berbincang dengan rakan sekolah memberi kekuatan kepada saya untuk mengingati isi pelajaran khususnya di waktu senggang cuti sekolah di rumah saya atau rumah kawan dan ke perpustakaan.
“Selain itu, penglibatan dalam kegiatan kokurikulum turut membantu membentuk keperibadian dan meningkatkan yakin diri saya.
Katanya, dia mewakili daerah dalam pertandingan Story Telling dan Spelling B dan secara tidak langsung memperkayakan perbendaharaan dalam bahasa Inggeris.
“Saya bercita-cita menjadi guru sebagai satu ibadah dalam agama menyampaikan ilmu kepada anak bangsa,” kataya.
Sementara itu, bapanya, Ielaham Hissin, 54 berkata beliau bersyukur kerana usaha yang dilakukan anaknya membuahkan hasil.
“Hantar dan ambil ke sekolah serta kelas tambahan dihadirinya terbayar dan seluruh keluarga gembira dan bersyukur dengan kejayaan ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.