Oleh: Zahir Senapiah
BATU PAHAT: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menemui spesies primat hampir pupus, Lotong Cenekah (Presbytis femoralis), di beberapa kawasan di Pahang.
Penemuan penting itu telah diterbitkan dalam jurnal American Journal of Primatology pada November 2024 dengan tajuk “Ethnoprimatology reveals new extended distribution of critically endangered banded langur Presbytis femoralis (Martin, 1838) in Pahang, Malaysia: Insights from indigenous traditional knowledge and molecular analysis”.
Kajian tersebut diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), bersama pelajar PhD, menggunakan pendekatan etnozoologi, pemerhatian lapangan, dan analisis DNA.
Menurut Muhammad Abdul Latiff, spesies Lotong Cenekah sebelum ini hanya direkodkan di Johor dengan populasi dianggarkan sebanyak 500 ekor.
Kajian itu bagaimanapun membuktikan kewujudan spesies tersebut di kawasan baharu di Pahang.
Penemuan itu bermula ketika beliau dilantik sebagai ahli Task Force Penilaian Kelestarian Biosfera Tasik Chini di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM), yang turut melibatkan interaksi bersama masyarakat Orang Asli Jakun.
“Maklumat awal diperoleh daripada masyarakat Orang Asli dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), sebelum kami melaksanakan kajian lebih terperinci. Lotong Cenekah sangat pemalu dan memerlukan pemerhatian jangka panjang serta analisis DNA dari sampel najis untuk pengesahan,” katanya.
Lotong Cenekah, primat pemakan daun, tergolong dalam kategori Critically Endangered (CR) di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN). Spesies itu berdepan pelbagai ancaman seperti kemusnahan habitat dan pemburuan haram.
Kajian tersebut menambah maklumat penting bahawa habitat Lotong Cenekah melangkaui Johor dan Singapura, menjadikannya peluang untuk mempergiat usaha pemuliharaan.
Penemuan itu sekali lagi menekankan pentingnya kerjasama antara komuniti saintifik, masyarakat setempat, dan agensi berkaitan dalam melindungi biodiversiti negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.