KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hari ini memutuskan isu berkaitan polemik Titah Adendum tidak dibenarkan dibangkitkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Beliau menjelaskan ia berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah membangkitkan mengenai perkara itu ketika beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bertegang urat ‘berdebat’ mengenai kewujudan Titah Adendum dan isu penderhakaan
Johari turut melarang penggunaan perkataan derhaka untuk isu berkaitan Titah Adendum mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).
“Ini keputusan saya, baik saya putuskan. Oleh kerana ia 36(2) dan (isu Titah Adendum masih) dalam mahkamah dan perkataan derhaka juga (mengikuti Peraturan Mesyuarat) 36(7), saya tidak benarkan lagi (isu dan perkataan itu).
“Move forward (sudahlah). Sesiapa juga yang membangkitkan melibatkan itu, saya akan ambil tindakan. Kalau tidak, tidak habis (bertegang urat mengenai isu Titah Adendum),” katanya.
Terdahulu, Rayer yang mencelah perbahasan itu bangkit membacakan Peraturan Mesyuarat 36(2) yang menetapkan, “isu yang dibicarakan di mahkamah tidak boleh disebutkan apa-apa yang sedang dalam pertimbangan mahkamah sekiranya pada pertimbangan pengerusi harus merosakkan kepentingan pihak yang dibicara.
“Tan Sri Speaker sudah memberi peringatan kepada ketua pembangkang. Beliau telah menyebut perkara itu (Titah Adendum) itu berulang kali yang hanya akan menyebabkan kita melanggar peraturan ini.
“Jadi pada hemat saya, ketua pembangkang telah menyebut perkara ini, tetapi mengulangi perkara itu… Sesuatu yang melanggar peraturan ini,” katanya
Johari berkata demikian ketika Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang juga Ketua Pembangkang membangkitkan isu kerajaan didakwa menyembunyikan Titah Adendum sewaktu membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat petang ini.
Hamzah ketika itu mendakwa pihak yang terbabit menyorok ‘Titah Diraja’ yang merujuk Titah Adendum itu mesti dikenakan Tindakan tegas kerana menderhaka dan dengan sengaja menghalang keadilan sehingga mahkamah membuat keputusan salah.
“Semua pihak perlu sedar, kalau Titah Diraja pun Kerajaan Madani ini sorok, isu-isu lain apa lagi, sebab itu tak pelik banyak lagi hal-hal lain disorok.
Dakwaan itu membuatkan beberapa Ahli Parlimen kerajaan antaranya Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani); Howard Lee (PH-Ipoh Timur); Tan Kar Hing (PH-Gopeng) dan S Kesavan (PH-Sungai Siput) bangkit kerana tidak berpuas hati dengan dakwaan berkenaan, memaksa Johari masuk campur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.