Tumpuan :
Nasional

Speaker Dewan Rakyat berhak tentu status 6 Ahli Parlimen – Peguam

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolak permintaan Bersatu bagi mengosongkan enam kerusi disandang bekas wakilnya.- Foto fail NSTP

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhak membuat pertimbangan bebas memutuskan enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan tidak perlu mengosongkan kerusi.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, Johari tidak tertakluk mengikuti keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengisytiharkan kekosongan atas alasan terhenti keahlian parti.

Katanya, Parlimen wujud dengan bebas dan speakernya tidak dibelenggu apa jua perkara diputuskan DUN.

Firoz mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kecewa kerana Johari enggan mengikuti keputusan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, mengisytiharkan DUN Nenggiri kosong bulan lalu.

Bercakap pada sidang media Selasa lalu, Muhyiddin mengesahkan Johari menolak gesaan Bersatu mengisytihar enam kerusi Parlimen kosong. Katanya, parti akan melantik peguam bagi mencabar keputusan Johari di mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Perlembagaan Bastian Pius Vendargon berkata, secara umumnya keputusan speaker tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Badan perundangan adalah cabang bebas kerajaan mengawal dan mengurus prosidingnya dengan mahkamah tidak akan campur tangan,” katanya.

Vendargon berkata, jika Perikatan Nasional (PN) berhasrat mempertikai perkara itu, halangan pertamanya adalah memuaskan hati mahkamah, bahawa badan kehakiman bebas campur tangan dalam urusan badan perundangan.

Peguam kanan itu berkata, pertikaian substantif hanya boleh didengar jika halangan itu diselesaikan.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak cubaan Bersatu mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah, yang dimenangi bekas ahlinya pada PRU 2022.

Hakim Amarjeet Singh enggan memberi kebenaran kepada parti itu memulakan prosiding semakan kehakiman, sambil menyatakan mahkamah tidak mempunyai kuasa menyemak keenganan Johari mengisytiharkan kekosongan kerusi.

Rayuan Bersatu masih berjalan di Mahkamah Rayuan.

Bulan lalu, Bersatu mengumumkan enam wakil rakyatnya yang dianggap penentang, termasuk Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim dan Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, terhenti keahlian selepas gagal memberi maklum balas bagi mengukuhkan semula taat setia kepada parti.

Pada 19 Jun, Amar mengumumkan kerusi Nenggiri kosong, justeru membawa kepada PRK diadakan pada 17 Ogos.

Enam Ahli Parlimen yang kekal adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). -FMT

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini