comscore
Tumpuan :
Nasional

Speaker Dewan Rakyat belum terima sebarang usul undi tidak percaya terhadap PM

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan belum menerima sebarang usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang setakat ini.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau menjelaskan setakat khabar angin yang diterimanya, usul undi tidak percaya mungkin tidak dibawa oleh mana-mana Ahli Parlimen pada sidang Parlimen yang akan bermula 14 Oktober ini.

“Setakat ini hanya cakap-cakap. Tapi tidak ada apa. Saya tidak terima apa-apa pun dalam bentuk hitam putih (bertulis) atau panggilan.

“Jadi seperti biasa, mana-mana usul kena ada hitam putih, tidak boleh emel, kena hantar kepada saya,” katanya ditemui media selepas hadir majlis penutup Program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama media di Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mencabar pembangkang untuk bawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Cabaran itu dibuat Anwar selepas beberapa perwakilan dan pimpinan PAS menuntut Ahli Parlimen Tambun itu meletak jawatan pada Muktamar Tahunan ke-70 parti berkenaan di Temerloh, minggu lalu.

Ini bukanlah kali pertama beliau mencabar Perikatan Nasional (PN) untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat, cabaran sama pernah dikemuka pada 11 Januari lalu dan 6 Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, mengulas kedudukan enam Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat keahliannya, Johari berkata, kedudukan mereka masih di blok pembangkang.

Beliau berkata, mereka menyatakan masih kekal wakil rakyat PN, justeru tiada keperluan untuk menukar kedudukannya menyertai blok kerajaan atau bebas.

“Dia kekal, dia tak keluar (BERSATU). Dia masih pembangkang. Dia kata masih BERSATU. Bagi saya apa dia kata, dia kekal (BERSATU) dan masih pembangkang dan dia pun tidak mohon masuk (blok) kerajaan.

“Jadi dia status quo (kekal dikedudukan blok dalam Parlimen seperti sekarang),” katanya.

Pada sidang Parlimen sebelum ini, kedudukan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang diarah mengosongkan kerusi oleh partinya selepas menyatakan sokongannya kepada Anwar masih kekal berada dalam blok pembangkang.

Kerusi mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E, iaitu sejak pertukaran dan perubahan tempat duduk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dikemas kini Parlimen pada Mac lalu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini