Tumpuan :
Nasional

SPA lulus 3,950 pegawai KKM dengan lantikan tetap

Kementerian Kesihatan (KKM).

KUALA LUMPUR: Seramai 3,950 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) diberikan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), pada 21 Oktober lalu.

Jumlah itu membabitkan 3,200 pegawai perubatan, diikuti pegawai pergigian (350) dan pegawai farmasi (400) yang memohon lantikan kontrak (interim) di KKM.

Menerusi kenyataan hari ini, KKM berkata, tarikh lantikan tetap calon adalah mengikut tarikh kuat kuasa melapor diri bertugas iaitu 30 Disember ini atau tarikh baharu diluluskan Ketua Jabatan, jika memohon penangguhan lapor diri bertugas.

Katanya, urusan penempatan ke fasiliti akan dilaksanakan Jabatan Kesihatan negeri mulai 23 Disember ini, selain calon boleh mengemukakan rayuan pertukaran penempatan menerusi saluran ditetapkan.

KKM juga mengucapkan tahniah kepada calon berkenaan, selain berharap mereka terus komited dan memberikan perkhidmatan lebih cemerlang demi kesejahteraan masyarakat Malaysia MADANI.

“Jika calon berhasrat membuat rayuan pertukaran penempatan, ia perlu dibuat menerusi Google Form yang disediakan dalam sistem e-Placement dari 5 hingga 11 November ini untuk pegawai perubatan, manakala pegawai pergigian dan farmasi (5 hingga 15 November).

“Antara aspek rayuan akan dipertimbangkan adalah calon sedang mengikuti pengajian kepakaran diluluskan KKM.

“Selain itu, calon, pasangan atau anak menghidap masalah kesihatan serius (disokong laporan perubatan) dan permohonan suka sama suka yang dikemukakan mana-mana calon,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini