SERDANG: Aktiviti seorang lelaki tempatan membawa dadah dari Pantai Timur dengan menerima bayaran RM6,000, berakhir selepas dia diberkas dalam serbuan di sebuah rumah teres sekitar Puchong, di sini, kelmarin.
Difahamkan, suspek mengubah suai bahagian but kereta bagi membolehkan ruangan kosong di bawah kotak pembesar suara digunakan sebagai tempat menyembunyikan dadah.
Jika dibuka bahagian but kereta itu, ia kelihatan seperti kerja ubahsuai set sistem pembesar suara yang biasa dilakukan peminat kereta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia 36 tahun itu dicekup bersama 381 kilogram (kg) dadah bernilai RM13.5 juta di premis itu yang dijadikan stor simpanan sejak awal tahun.
Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau itu dipercayai berperanan sebagai penjaga stor yang akan membungkus semula dadah yang diseludup dari negara jiran sebelum diedarkan untuk pasaran Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati rumah berkenaan disewa dengan harga sekitar RM3,300 menggunakan nama seorang lelaki tempatan yang sudah dikenal pasti identitinya.
“Suspek berusia 36 tahun dipercayai sudah melakukan empat kali penghantaran (dadah) dan menerima bayaran kira-kira RM6,000 bagi setiap penghantaran.
“Bekalan dadah berkenaan dipercayai masuk dari negara jiran melalui jalan darat di sebuah negeri di Pantai Timur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.
Menurutnya, serbuan dijalankan pasukan khas JSJN Bukit Aman dan JSJN Kelantan itu menemui 71 bungkusan plastik seberat 73 kg mengandungi dadah ketamin dan 308 kg dadah jenis syabu di dalam 300 paket bungkusan plastik teh cina.
Katanya, pihak polis sedang mengesan saki-baki suspek dan penama yang menyewa rumah berkenaan bagi membantu siasatan.
Khaw berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif.
“Keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta bernilai RM37,500, wang tunai RM500 dan dadah RM13.5 juta.
“Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.