KAJANG : Pihak berkuasa merampas lebih setengah tan dadah bernilai lebih RM33.7 juta yang diseludup masuk dari Pakistan melalui kontena berisi muatan bawang, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata seorang lelaki warga Sri Lanka dipercayai menjadi koordinator membawa masuk dadah berkenaan turut ditahan bersama enam lelaki tempatan.
Tiga serbuan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sekitar lembah klang pada jam 12.30 tengah hari hingga 2.15 petang Rabu lalu.
Ia selepas pihak berkuasa berjaya menghidu helah sindiket yang menggunakan kontena dari Pakistan masuk melalui jalan laut di Pelabuhan Klang.
Lebih 411 kilogram syabu dan 100 kilogram kokain dirampas ketika ahli sindiket memunggah dadah berkenaan dari kontena ke sebuah gudang.
”Kita terpaksa mengambil masa yang panjang, kita nak mengeluarkan bawang2 ini kerana kebanyakan dadah ini diletak di belakang kontena.
”Dia campur dadah ini dalam bawang. Ini kaedah diguna untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.
Polis turut merampas enam kenderaan, barang kemas dan wang tunai termasuk dadah berjumlah RM34.1 juta.
Siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk dadah dari Pakistan melalui jalan laut dan dijual di sekitar Lembah Klang.
Polis juga tidak menolak dadah berkenaan untuk pasaran negara jiran memandangkan jumlahnya yang agak besar.
Kesemua suspek berusia 21 hingga 53 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.